Kita semua pasti pernah mendengar cerita yang lebih kurang sama:
“Ayah dulu duit lima puluh sen pun dah cukup makan satu hari tau?”
“Nak pergi sekolah dulu, jalan kaki. Sampai haus kasut. Mana ada bas, LRT semua ni.”
Kemudian zaman beredar.
“Ayah dulu kalau nak dengar lagu, kena pusing kaset dengan pen tau? Nak jimat bateri Walkman. Mana ada rewind-forward semua ni.”
“Mak dulu buat assignmentcari bahan di library tau? Mana ada nak kopipes, nak Wiki semua ni.”
Saya pun orang tua. Jadi saya faham, orang tua memang selalu bangga dengan zaman mereka. Sekali-sekala hidup dalam kenangan.
Sama seperti isu mahasiswa lapar masa kini.
Ada tiga persoalan yang menarik perhatian saya:
1 Benarkah mahasiswa kebuluran?
Saya fikir ini isu sampel.
Ada orang cuma mencebik bibir dengan perkhabaran ini kerana dia mengenali, katakan, lapan orang mahasiswa yang leka berjoli dengan telefon pintar dan hidangan mewah sebaik sahaja menerima wang PTPTN.
Ada pula yang terpekik terlolong seolah-olah universiti sudah jadi padang jarak padang tekukur, sudah jadi savana yang cuma didiami haiwan liar dan manusia kebuluran halus lengan kembung perut – hanya kerana dia teringat kenangannya sendiri makan mi segera, atau selepas melihat gambar mahasiswa beratur ambil makanan di akhbar.
Pada hemat saya, tidak adil menghukum kelompok yang besar dengan sampel yang kecil.
Sedangkan golongan pekerja yang berpendapatan sendiri pun saban hari jerih bergelut dengan kos sara hidup yang mengerikan zaman ini, apatah lagi mahasiswa yang rata-rata bergantung dengan biasiswa, pinjaman, dan wang saku dari ibu bapa.
2 Benarkah kerajaan mengabaikan mahasiswa?
Soalan ini saya utarakan kerana saya terbaca satu artikel pendapat di sebuah portal berita yang marah betul dengan Khairy Jamaluddin. Katanya sebagai lulusan Oxford, KJ perlu lebih peka dan sedar bahawa masalah pelajar lapar itu wujud.
Menurut sentimen semasa, saya bersetuju bahawa kenyataan KJ (bahawa tidak mungkin mahasiswa kebuluran andai gelandangan pun bisa makan) kurang sesuai.
Namun, penulis artikel itu benar-benar cuai apabila menyifatkan kerajaan sebagai “buta jiwa untuk rasa kasihan” dalam isu ini.
Kalau tidak silap saya, KJ dalam kenyataan medianya memang mengakui masalah mahasiswa lapar wujud dan turut menyatakan kepekaannya dengan saluran bantuan yang ada.
Jadi, tidaklah sampai buta jiwa.
Sabarlah. Saya pun bukannya setuju sangat dengan parti Melayu yang sudah berpuluh tahun memperkuda bangsa sendiri ini, tapi janganlah jiwa kita dibutakan emosi melawan yang keterlaluan.
Dengan keadaan Malaysia yang diiktiraf sebagai salah satu negara paling mahal untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, kerajaan sudah pasti perlu ambil isu mahasiswa lapar ini dengan lebih serius. Jangan nganga saja.
Namun untuk mengatakan kerajaan mengabaikan mahasiswa sehingga kebulur, satu tuduhan yang berat.
3 Benarkah mahasiswa zaman sekarang manja?
Selepas isu ini melata, ramailah pengguna media sosial (termasuk beberapa orang teman saya) yang mula mendabik dada dan menjuih bibir kepada para mahasiswa.
Maka bersiponganglah kisah “zaman dulu aku ini” dan “zaman dulu aku itu”.
Bangga dengan kenangan, inilah perangai jelik kami sebagai orang tua. Kami selalu fikir kami lebih bagus.
Dalam keadaan ekonomi menguncup dan kami mengeluh tentang pasaran kerja yang lembap, tanpa segan silu kami herdik mahasiswa dan minta mereka cari kerja separuh masa untuk tampung duit poket.
Maafkanlah kami. Sebab jauh di sudut hati, kami pun sebenarnya rimas bila golongan lebih tua cerita tentang zaman sebelum merdeka. Cerita tentang didik anak-anak tidak perlu guna teknologi maka manjalah anak-anak kami dengan aplikasi belajar membaca di iPad. Cerita tentang hebatnya mereka mengarang tesis menggunakan mesin taip dan cecair pemadam maka manjalah kami menggunakan komputer riba.
Orang tua kadangkala lupa, zaman sudah berubah. Mereka selalu fikir kerana lebih awal garam dicecah, maka mereka lebih gagah.
Cerita dulu-dulu, tidak salah dibuat teladan. Namun usah diguna buat bekal menghukum dan menuduh sembarangan.
Kesimpulan
Andai anda tanya generasi muda masa kini, mereka pasti teruja dengan vokal tenang Yuna atau lagu-lagu manis Ayda Jebat.
Namun generasi di atas mereka akan tertawa dan berkata: pernahkah kalian mendengar suara Siti Nurhaliza?
Generasi lebih tua akan menggeleng kepala. Bagi mereka, cuma Sharifah Aini layak bergelar diva.
Namun itu pasti tidak mampu diterima zaman awal merdeka yang lebih terkenang pukau suara Nona Asiah dan Saloma.
Orang tua akan sentiasa berfikir zamannya lebih hebat dan mencabar. Namun perbandingan begini tidak akan membuahkan hasil matang andai kita benar-benar mahu membantu mahasiswa.
Kerana akhirnya, Adamlah yang akan menang. Dia akan berkata: kalian semuanya manja, tidak kiralah yang melawan Nazi atau dibom Zionis atau dibedil Jepun atau disembelih Bintang Tiga. Sedang aku dihalau Tuhan dari syurga ke dunia hanya berteman Hawa, masih mampu aku menyebar kalimah-Nya dan memulakan keturunan manusia.
Siapa nak jawab?
No comments:
Post a Comment