Arus
missionary golongan ekstrem yang yakin mentablighkan mereka dari aspek
kehidupan pula dimonopoli oleh kelompok kecil yang bergerak di bawah tanah.
Tidak cukup dana untuk bersuara di muka alam luas kerana takut dicerca. Retorik
kan? Ini adalah permainan agamawan yang berasa dia sudah tahu banyak dan
berhujah dengan hebat, menghambur air liur tanpa batas kemanusiaan sebagai
asasi manusiawi. Berucap seolah-olah dia tahu semua hukum dan mengharapkan
ideologi yang dilontar ditelan mentah-mentah oleh empunya telinga. Itulah usrah
yang sudah disalah guna oleh golongan ilmuwan yang merasakan mereka berhak
mengubah dunia tetapi pergerakan mereka hanya di lorong semut dan saluran
anai-anai. Tidak mampu bersuara lantang kerana dibatasi kuasa birokrasi yang
menjalankan tugas menghakis sifat ingin tahu, kebebasan bersuara dan mencantas
semangat anak muda yang mahu pertahankan hak. Lalu timbangan keadilan tidak
setara, senget sebelah kerana tarikan graviti yang menjadi magnet kepada dosa-dosa
para pemimpin yang tidak amanah menambah lapisan kabus pada wajah harapan
anak-anak muda. Si tua pemimpin bersuara lantang seolah-olah planet ini tidak
akan tua, dan raksa tidak akan menghakis kemudaan para belia, seolah-olah kain
kapannya kelak diperbuat daripada sutera dan berlainan dari bangsa marhaen pada
masa kini. Terkapar anak muda mencari dasar dan si tua pemerintah mencipta
dasar-dasar lapuk yang memuaskan nafsu tembolok dan raja hatinya. Bukan seruan
‘ayuh, bangkitlah anak muda!’ tapi seruan ‘ayuh pemimpin yang sudah tua… beri
peluang kepada si anak muda memerintah dan nikmatilah masa tua mu selagi ada
waktu’. Adakah ini terlalu sarkastik? Tidak! Manusia saja mudah lupa usia itu
selalu bertambah dan dibuktikan dengan alam yang ada siang dan malamnya. Tidur seperti
mati yang seketika dan mati itu pasti tanpa detik yang diketahui, menjadi
rahsia alam yang tidak pernah dapat dijawab oleh kemajuan sains pada masa kini.
Lalu, untuk apa rakyat marhaen menderita kerana planet yang makin tua ini? Ditadbir
si pemimpin yang tidak layak menjadi khalifah? Angin, beritakan kepada mereka
yang takabur dengan pangkatnya, dengan kemewahannya agar berpijak di bumi yang
nya, rasai gelombang kemanusiaan tanpa perlu sesedap mulut mengata itu dan ini,
mencacak dasar yang menekan rakyat marhaen sehingga golongan ini sesak nafas
kehilangan punca. Hilangkan kesesakan lintas langsung acara yang tidak
berfaedah. Apatah lagi perkara yang melalaikan sehingga menjadikan semua anak
muda berfantasi menjadi badut hiburan. Sedangkan hiburan yang ada hanya
seketika cuma, dan bayaran itu bukan kerana titik peluh tapi cagaran untuk
maruah yang dipasarkan di kaca tv yang manisnya hanya seketika.
No comments:
Post a Comment